Wednesday, December 30, 2009

16 KATEGORI MANUSIA YANG TIDAK DAPAT MENATAP WAJAH ALLAH

S

alah satu nikmat yang paling besar yang dikecapi oleh penduduk syurga ialah mereka dapat melihat dan menatap wajah Allah Azza Wajalla. Allah berfirman dalam Surah al Qiamah ayat 22-25


وُجُوهٌ يَوْمَئِذٍ نَّاضِرَةٌ إِلَى رَبِّهَا نَاظِرَةٌ

وَوُجُوهٌ يَوْمَئِذٍ بَاسِرَةٌ تَظُنُّ أَن يُفْعَلَ بِهَا فَاقِرَةٌ
Pada hari akhirat kelak, muka (orang-orang yang beriman kelihatan) berseri-seri; justeru mereka dapat menatap wajah Tuhannya. Sebaliknya muka (orang-orng kafir) serba muram dan pucat hodoh justeru mereka yakin akan menghadapi seksaan yang berat dan dahsyat.

Namun bagi orang yang bernasib malang mereka tidak akan dapat masuk syurga dan menatap wajah Allah . Golongan yang tidak akan dapat menatap wajah Allah yang mulia ialah :

1. Orang yang menjual janji setianya dengan Allah dengan harga yang tidak seberapa daripada habuan duniawi yang fana ini.(Orang bersumpah palsu) Allah berfirman :


إِنَّ الَّذِينَ يَشْتَرُونَ بِعَهْدِ اللّهِ وَأَيْمَانِهِمْ ثَمَناً قَلِيلاً أُوْلَـئِكَ لاَ خَلاَقَ لَهُمْ فِي الآخِرَةِ وَلاَ يُكَلِّمُهُمُ اللّهُ وَلاَ يَنظُرُ إِلَيْهِمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَلاَ يُزَكِّيهِمْ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ)--- آل عمران : 77

Sesungguhnya orang-orang yang mengutamakan keuntungan dunia yang sedikit dengan menolak janji Allah dan mencabuli sumpah mereka, mereka tidak akan mendapat bahagian yang baik pada hari akhirat, dan Allah tidak akan berkata-kata dengan mereka dan tidak akan memandang kepada mereka pada hari Kiamat, dan tidak akan membersihkan mereka (dari dosa), dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya


2. Pemerintah yang menjauhkan diri dari suka duka rakyat, tidak peduli kepada penderitaan mereka dan tidak kesihan terhadap kemiskinan dan keperitan hidup yang dihadapi oleh mereka.

عن أبي مريم الأزدي رضي الله عنه قال:قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : (من ولي من أمور المسلمين شيئاً ،فاحتجب دون خلّتهم ،وحاجتهم ،وفقرهم، وفاقتهم، احتجب الله عنه يوم القيامة، دون خلّته ، وحاجته ، وفاقته، وفقره )

Abu Mariam al Azadi R.A. meriwayatkan bahawa Rasulullah pernah bersabda :

“ Siapa yang memikul apa-apa jawatan atau tugas menguruskan orag Islam namun dia gagal memenuhi tanggongjawab dan dia mengelak daripada menyelesaikan keperluan mendesak, kepentingan, kemiskinan dan kepapaan umat Islam nescaya Allah akan mengelak (menjauhkan diri) daripadanya pada hari kiamat kelak daripada menyelesaikan keperluannya yang mendesak, kepentingan, kemiskinan dan kepapaannya pada hari tersebut.”

Hadith Sahih riwayat Abu Daud dan dianggap berstatus sahih oleh al Albani.

3. Orang Tua yang Berzina


عن أبي هريرة رضي الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال ( ( ثلاثة لايكلمهم الله يوم القيامة ، ولا ينظر إليهم ، ولا يزكيهم ، ولهم عذاب أليم: شيخ زانٍ ، وملك كذّاب ، وعائل مستكبر ) أخرجه مسلم

Abu Hurairah R.A. meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. pernah bersabda:

“Tiga orang yang Allah enggan bercakap-cakap dengan mereka pada hari kiamat kelak. Allah tidak sudi memandang muka mereka, Allah tidak akan membersihkan mereka daripada dosa (dan noda) . Untuk mereka disiapkan seksa yang sangat pedih. (Mereka ialah ): Orang tua yang berzina, pemerintah yang suka berdusta dan fakir miskin yang takabbur.”

Hadith ditakhrijkan oleh Muslim.

4. Pemerintah Atau Kerajaan Yang Suka Berbohong (Dusta)

5. Orang miskin yang takabbur

6. Orang yang tak sudi menolong walau dengan mengajukan seteguk air.

في حديث ابي هريرة (……. ورجل منع فضل ماء ، فيقول الله : اليوم أمنعك فضلي ، كما منعت فضل مالم تعمل يداك

Dalam Hadith riwayat Abu Hurairah ada disebutkan prasa berikut: .. orang yang enggan memberi lebihan air minum (yang dia miliki kepada orang yang keputusan air minum). Sehingga Allah bersabda : Pada hari ini Aku akan menghalangmu daripada mendapat lebihan kurniaKu, persis sepertimana kamu menghalang orang lain daripada mendapat kurniaan yang bukan tangan kamu yang menciptanya.

7. Pembai’ah dan pengundi pemimpin kerana kebendaan

وعن أبي هريرة - رضي الله تعالى عنه - قال: قال رسول الله -صلى الله عليه وسلم-: ( ‏ ثلاثة لا يكلمهم الله يوم القيامة، ولا ينظر إليهم، ولا يزكيهم، ولهم عذاب أليم: رجل على ‏ ‏فضل ‏ ‏ماء ‏ ‏بالفلاة، ‏ ‏يمنعه من ‏ ‏ابن السبيل، ‏‏ ورجل بايع رجلا بسلعة بعد العصر، فحلف له بالله لأخذها بكذا وكذا فصدقه، وهو على غير ذلك، ورجل بايع إماما لا يبايعه إلا للدنيا، فإن أعطاه منها وفى، وإن لم يعطه منها لم يف ) متفق عليه.

Dalam hadith riwayat Abu Hurairah bahawa Rasulullah pernah bersabda

”Tiga orang Allah tidak akan bercakap cakap dengannya pada hari kiamat kelak. Malah Allah tidak akan menoleh (memandang) kepadanya, Allah tidak akan menyucikan dirinya (daripada dosa) . Sebaliknya disediakan untuknya seksa yang sangat pedih. Pertama; orang yang mempunyai bekalan air yang banyak di suatu kawasan lapang atau sahara tapi ia enggan untuk memberi minum ”Ibnu al Sabil” para musafir (yang kehabisan bekalan minuman ). Kedua; orang yang menawar untuk membeli barangan selepas asar dengan bersumpah atas nama Allah; bahawa dia akan membeli atau mengambil barang itu dengan harga tertentu.Janjinya itu dipercayai benar oleh penjual. Pada hal dia sebenarnya langsung tidak berniat untuk membelinya . Ketiga; orang membai’ah pemimpin (mengundi dan memilih atau melantik pemimpin) semata-mata kerana perhitungan keduniaan (kebendaan). Kalau orang yang dipilihnya itu memberikan janji habuannya maka barulah dia akan menunaikan kewajibannya. Kalau tidak ia akan bersikap enggan (atau ingkar).” (Hadith Muttafaqun ’alaihi)

8. Penderhaka Ibu Bapa

Rasulullah bersabda:

عن عبدالله بن عمر رضي الله عنه قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : ( ثلاثة لاينظر الله عز وجل إليهم يوم القيامة :العاق لوالديه ، والمرأة المترجلة المتشبهة بالرجال والديوث) صحيح أخرجه أحمد والنسائي

Abdullah Bin Omar R.A. meriawayatkan bahawa Rasulullah pernah bersabda:

“Tiga orang Allah tidak akan sudi memandang wajah mereka pada hari kiamat kelak: Penderhaka kepada dua ibu bapanya, wanita yang berlagak lelaki yang meniru kaum jantan dan golongan orang Daiyuth. Hadith sahih ditakhrijkan oleh Ahmad dan Nasaii

9. Wanita yang berlagak seperti lelaki (Tomboy)

عن عبدالله بن عمر رضي الله عنه قال :قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : ( ثلاثة لاينظر الله عز وجل إليهم يوم القيامة :العاق لوالديه ، والمرأة المترجلة المتشبهة بالرجال والديوث ) صحيح أخرجه أحمد والنسائي

10. Orang Lelaki yang Dayyuth

Suami atau bapa yang tidak lagi mempunyai rasa cemburu dan maruah diri sehingga membiarkan isteri berjahat dengan orang lain tanpa rasa cemburu dan marah

Apabila perasaan cemburu yang positif ini sudah tidak ada lagi dalam diri seseorang ; maka tidak ada usaha untuk menentang kemungkaran terhadap maruah keluarga atau diri sendiri. Dengan itu kejahatan akan bermerajalela.

11.Pengamal Budaya Kaum Luth


عن ابن عباس رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : (لاينظر الله - تعالى- إلى رجل أتى رجلاً ، أو امرأة في الدّبر ) صحيح اخرجه الترمذي

Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda : Allah tidak akan sudi memandang wajah orang yang menyetubuhi lelaki atau mendatangi isterinya di duburnya. Hadith sahih ditakhrijkan oleh al Turmuzi

12. Pengamal Seks Abnormal

Golongan ini termasuk kalangan yang bernafsu terhadap binatang dan tergamak melakukan hubungan jenis dengan binatang .

13.. ”Al-Mannan” atau pemberi yang suka mengungkit-ungkit pemberiannya; baik lelaki mahupun perempuan.

عن ابي ذر رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم ثلاثة : ( لايكلمهم الله يوم القيامة ، ولايزكيهم ، ولهم عذاب أليم ) فقالها رسول الله صلى الله عليه وسلم ثلاث مرار ، فقلت : خابوا وخسروا من هم يارسول الله قال: المنان والمنفق سلعته بالحلف والمسبل ازاره ) اخرجه مسلم

Abu Zar meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda: “ Tiga orang Allah tidak akan bercakap-cakap dengan mereka. Allah tidak akan membersihkan mereka daripada dosa (dan noda) malah disiapkan untuk mereka seksa yang sangat pedih. Baginda mengulang prasa itu tiga kali. Lalu (kata Abu Zar) aku pun menambah, malang , kecewa dan rugilah mereka ; siapakah mereka itu wahai Rasulullah?. Beginda menjawab al Mannan atau orang yang suka mengungkit-ungkit pemberiannya, orang yang melariskan barang jualannya dengan sumpah (palsu) dan orang suka melabuhkan pakaiannya ( kerana-menunjuk- nunjukan kekayaan ).

Hadith di takhrijkan oleh Muslim


14. Orang suka menunjuk-nunjuk kekayaan dengan pakaian labuh menyapu tanah dan berjalan di muka bumi dengan angkuh atau

المسبل إزاره المختال في مشيته

“Orang melabuh-labuhkan pakaian (menunjuk-nunjuk kekayaan dengan sikap boros) yang berjalan dengan cara bermegah-megah dengan diri sendiri.”

15. Penjual yang melariskan barang jualannya dengan cara berdusta dan membohong


عن ابي ذر رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : ( ثلاثة لايكلمهم الله يوم القيامة ، ولا يزكيهم ، ولهم عذاب أليم : المسبل إزاره ، والمنان ، والمنفق سلعته بالحلف الكاذب ) أخرجه مسلم في كتاب الإيمان

Abu Zar meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda :

Tiga orang Allah tidak akan bertutur kata dengan mereka. Allah tidak akan membersihkan mereka dan untuk mereka disediakan azab yang sangat dahsyat… penjual yang melariskan barang jualannya dengan sumpah palsu.

16.Isteri yang tidak berterima kasih terhadap suami

عن عبد الله بن عمر رضي الله عنهما قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: ( لاينظر الله إلى امرأة لاتشكر لزوجها وهي لاتستغني عنه ) صحيح أخرجه النسائي وصححه الالباني

Abdullah Bin Omar R.A. meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. pernah bersabda: “Bahwa Allah tidak akan memandang muka isteri yang tidak berterima kasih (kufur nikmat) kepada suaminya. Pada hal dia sendiri tidak boleh tidak memerlukan kepada suaminya itu.”

UNTUK TEMAN-TEMAN BLOGGERS YG MELAWAT BLOG INI, TINGGALKANLAH SEPATAH DUA KOMEN UNTUK DIJADIKAN PERINGATAN AGAR ABAH TAK TERLUPA UNTUK MELAWAT BLOG KALIAN KEMBALI.. INSYA ALLAH..

Wednesday, December 09, 2009

SPM oh SPM

S

emalam 8 Dis adalah hari akhir along menghadapi peperiksaan SPM setelah sekian lama menempuh alam persekolahan. Apa yang pasti abah sangat menaruh harapan agar keputusan nanti berpihak kepada along. Hari ini along mengucapkan selamat tinggal kepada MCKK. Banyak nostalgia yang dilalui. Malah abah sendiri akan terkenang saat hari pertama menghantar along ke MCKK. Hari-hari dimana abah sering berulang alik ke sana.

Sesungguhnya pelajar yang menduduki peperiksaan SPM dan STPM akan melalui cuti panjang hampir empat bulan. Banyak perkara yang boleh dibuat. Setelah sekian lama memberi tumpuan kepada pelajaran kini mereka akan bebas. Disinilah kebebasan akan menentukan kemampuan berfikir bagi para pelajar. Abah tidak perlulah menghuraikan secara terperinci akan kebebasan yang mana perlu dibuat namun sebagai orang tua abah berharap mereka dapat menilai yang baik dan yang buruk.

Selamat maju jaya.

Monday, December 07, 2009

Kesan Banjir

K

sihan kepada pengguna jalan raya di negeri terengganu. Selepas banjir ni, jalanraya sudah jadi berlubang disana sini. Abah sebenarnya tidaklah ambil kesah sangat dengan rungutan pengguna. Dalam rancangan GGOK di terengganu FM ramai pengguna merungut jalanraya berlubang. Sampai riuh rendah long dan kak chik menyambut talian telepon orang ramai. Itu pun abah tidaklah fikir serius sangat tentang jalan. Nanti akan diselesaikanlah oleh JKR. Memanglah selepas banjir jalan berlubang akan pasti ada. Tetapi kalau dah terlalu banyak, ada yang tidak kena.

Sehinggalah pada 4 Dis lalu abah trevel ke Kluang Johor melalui lebuh Jerangau Jabur, abah melalui sendiri kesukaran yang dihadapi oleh pengguna yang lain. Bermula dari simpang Ajil sehingga ke persimbangan lebuhraya LPR Jabur lubang yang berselerak di jalanraya. Elak tayar kanan terjun tayar kiri. Elak tayar hadapan terjun tayar belakang. Tak elak terjun kedua-dua. Abah cuba berfikir kenapa selepas banjir tahun ni begitu banyak lubang terhasil. Apakah kerana banjir tahun ni agak teruk dari tahun-tahun sebelumnya? Atau apakah tempoh ketahanan jalanaraya di terengganu sudah melebihi ( expire date )? atau apakah bahan binaan yang digunakan tidak berkualiti? Semua soalan ini akan hanya mampu dijawab oleh pakar-pakar dari JKR atau IKRAM. Namun begit yang pasti pengguna jalanraya terpaksa menempuhi jalanraya yang berlubang dalam tempoh masa yang mungkin mampu dijawab oleh JKR juga.

Abah pulang dari travel malam tadi 6 Dis juga melalui jalan yang sama dari lebuh jabur ke persimbangan ajil. Kali ini lebih memeritkan kerana terpaksa melalui jalanraya ini pada waktu malam. Bayangkan dalam keadaan lubang yang berselerak itu abah terpaksa memandu berhati-hati. Kelajuan 90km pada kali ini amat laju. Abah terpaksa memandu di bawah 70km bagi mengelak kejadian yang tidak di ingini berlaku. Lebih-lebih lagi bila kereta abah bertembung dengan kenderaan lain. Silau cahaya lampu membataskan pandangan abah. Dalam keadaan berhati-hati itu pun abah tersalah langkah dan terjun juga lubang. Apa tidaknya seperti yang abah cakap tadilah, elak kanan terjun kiri, elak kiri terjun kanan. Malang tidak berbau, abah tak mampu elak lubang yang agak dalam selepas silau lampu lori melepasi kereta abah. Apa lagi tayar kereta abah pancit di Ceneh. Mujurlah dekat situ ada lampu jalan, boleh lah abah buat kerja-kerja tukar tayar spare.

Dalam perjalanan itu juga abah bertemu dengan beberapa buah kereta yang sedang menukar tayar. Ini menunjukkan jalanraya sudah tidak selamat kepada penggunanya. Apakah mahu tunggu kemalangan jiwa berlaku baru mahu buat pembaikian.

Dalam hati, abah merungut. Beginikah slogan 1malaysia: Rakyat didahulukan pencapaian diutamakan, menjadi tunggak iltizam kerajaan dapat di terjemahkan oleh kakitangan kerajaan. Kerana sepatutnya kerja-kerja menampal lubang tidak perlu menunggu masa yang lama. Jalanraya merupakan laluan utama pemilik kereta. Kemana perginya pekerja-pekerja JKR. Apakah tidak ada pemantauan dibuat keatas jalan-jalan yang rosak ini. Atau cukup sekadar pantau sahajakah. Selepas itu tiada susulan. Abah yakin kalau pun JKR tiada peruntukan dan permohonan ini diajukan kepada Menteri berkenaan, menteri kerjaraya tidak akan teragak-agak membantu. Tidak malukah kepada pelancong luar yang datang ke monsun cup. Jalanraya di terengganu penuh dengan lubang. Tengok-tengoklah ada lubang yang dalam yang sudah pasti menjadi lubang maut.

Jangan buat tak peduli aja.

Jadikanlah

Tuesday, December 01, 2009

Bulan Peperiksaan

A

bah baru pulang dari menemani anak abah yang sulong yang kini sedang menduduki peperiksaan SPM. Selama 5 hari bersama Along di MCKK bagi memberi perangsang dan ketenangan dalam usaha terakhir membantu Along. Abah tidak kesaorangan menemani along tetapi semua anak-anak dan isteri turut sama. Usaha ini abah sering buat dengan turut sama merasai saaat peperiksaan bersama anak-anak. Bermula dari awal peperiksaan iaitu UPSR, PMR dan kini SPM abah akan berusaha menemani anak-anak abah di sekolah semasa peperiksaan dijalankan. Abah pun tidak pasti dengan hadirnya abah di sekolah semasa peperiksaan dijalankan boleh membantu anak-anak menjawab atau tidak, tetapi yang pasti abah hanya memberi sokongan moral kepada anak-anak.

Pengembaraan abah ke Kuala Kangsar 21 Nov hingga 25 Nov 2009 sebenarnya sesuatu yang amat menarik kerana abah meninggalkan Pekan Kuala Berang ketika cuaca dimusim tengkujuh mulai menunjukkan wajah. Hari abah bertolak tempat-tempat rendah telah mulai dinaiki air. Abah pun terpaksa melencong setelah jalan di Kampung Kepah telah ditenggelami air. Sebagai persediaannya abah telah menghubungi Bilik Gerakan Banjir Daerah dan Balai Polis Gua Musang bagi mendapatkan gambaran jalan-jalan yang mungkin dinaiki air. Selepas melalui jalan Kg. Basung yang berlubang-lubang kereta abah meluncur terus ke Gua Musang melalui kenyir tanpa apa-apa halangan kecuali jalan rosak di Felda Aring yang ketika ini dalam proses pembinaan.

Abah terpaksa merelakan along berhari raya di sekolah bagi mengelak kemungkinan yang tidak diingini. Dalam cuaca yang tidak menentu abah tidak bersedia mengambil risiko dengan membawa along balik berhari raya di kampung. Biarlah along bersama rakan-rakan berhari raya di sekolah kerana peperiksaan berikutnya selepas hari raya ialah pada 30 Nov. Solat hajat dan doa ke hadrat Illahi mengiringi perpisahan seketika.

Hari terakhir peperiksaan along pada 8 Dis iaitu kimia. Tahun hadapan angah pula akan menempuh PMR yang kini bersekolah di SM Sains Dungun. Diikuti tahun berikutnya UPSR akan diduduki oleh Kak Teh anak ketiga abah.

SELAMAT MENGHADAPI PEPERIKSAAN.

Thursday, October 08, 2009

Lama Menghilang

A
ssalamualaiku w.w.
Lama betul abah tidak menulis. Bukan apa kekadang tu buntu sikit nak mengarang. tambah lagi kerja agak banyak. Kat pejabat tu bukan mainlah banyaknya. pegang yang ini nak buat yang itu pulak. Namun begitu kerja perlu dibereskan. Sebulan bulan ramadan telah kita lalui dengan tenang dan mudah2an Allah S.W.T. makbulkan segala permohonan dan menerima segala amal ibadat kita semua.

Kini bulan syawal hampir meninggalkan kita. 1 syawal yang lalu telah kita meriahkan dengan saling bermaaf-maafan dan kunjung mengunjung antara satu sama lain. Namun abah mendapat pengalaman yang menarik untuk dikongsi iaitu bilangan kenderaan yang terlalu banyak dijalanraya pada ketika umat islam menyambut syawal yang lalu. Penambahan bilangan kenderaan ini amat membimbangkan kerana sudah semestinya pengguna jalanraya terdedah dengan resiko kemalangan. Apa tidaknya, sepanjang Op sikat dilancarkan tidak kurang dari 200 jiwa akan terkorban. Semua ini menunjukan jumlah kematian yang amat tinggi melebihi kematiaan H1N1.

Sesuatu perlu di fikirkan supaya kemalangan dapat diatasi. Mungkin dengan cara menaikkan harga bayaran ansuran kereta. ( Pinjaman Bank di pendek kepada 3 tahun sahaja )

Wednesday, September 16, 2009

Selamat Menyambut Hari Lebaran

P

ertamanya abah nak ucapkan tahniah dan syabas kepada semua umat islam yang berjaya menjalani ibabat puasa dengan jayanya. Bulan Ramadan yang didalam ada seribu rahmat sepertimana dijanjikan Allah S.W.T. akan berlalu satu dua hari lagi. Pada zaman Rasulullah penduduk Mekah dan Madinah menangis menitis air mata apabila hari-hari terakhir dilalui di bulan ramadan. Namun pada zaman ini umat manusia dilihat begitu bergembira melalui hari-hari terakhir bulan ramadan. Lihatlah akan perbezaan yang besar ini. Abah berkesempatan menonton Al-Risallah di TV9 yang menceritakan kesah-kisah para nabi dan rasul. Sunguh berkesan dan amat menarik sekali kisah-kisah yang dipaparkan. Kisah Nabi Isa yang diturunkan semula ke bumi bagi memimpin umat manusia yang terjerumus kelembah kekufuran.

Insya Allah 1 syawal akan menjelma barang satu dua hari lagi. Sudah tentu umat islam akan menyambut dengan penuh kesyukuran. Anak-anak adalah yang paling gembira. Kegembiraan mereka akan dikongsi oleh seluroh ahli keluarga. Abah juga turut sama akan merasainya kerana 2 orang anak abah akan pulang dari persekolahan. Namun kegembiraan ini sering bercampur aduk. Apa tidaknya tahun ni along akan menempuh peperiksaan SPM yang hanya tinggal 2 bulan lagi. Peperiksaan percubaan tidaklah begitu memberansangkan keputusannya. Abah pun tengok along dah banyak membuat ulangkaji. Abah berdoa mudah2an kejayaan akan berpihak kepadanya. Insya Allah.

Wednesday, August 26, 2009

Salam Ramadan dan Merdeka

R

amadan telah masuk hari keempat. Seperti biasa masjid dan surau akan penuh dengan jemaah yang berlumba-lumba mengerjakan ibadah sembahyang sunat tarawikh. Peluang ini tidak terdapat dalam sebelas bulan yang lain. Kerana itulah sekali kebaikan yang dilakukan dalam bulan yang mulia ini akan dilipat gandakan pahalanya. Namun begitu seperti biasa jugalah.....kedai-kedai, bazar-bazar ramadan, pusat-pusat beli belah akan juga dipenuhi oleh pengunjung yang dari mana datangnya. Apa lagi bila akhir-akhir bulan sebegini. Nafsu makan akan membuak-buak bila berada di bazar ramadan.... pantang lihat makanan yang enak pasti keinginan membeli akan ada. Setakat hari ini abah tidak pun lagi menjejakkan kaki ke bazar ramadan yang berderet-deret didirikan. Tak taulah pula apa sebabnya. Perasaan nak singgah atau menjegah kat situ tak ada langsung. Mungkin sebab dah biasa tak pergi agaknya..... bukan kedekut....tapi dah serik kerana pernah beberapa kali terkena makanan yang dibeli basi. ( Lepas makan sakit perut ).



...Dan 31 Ogos, hari kemerdekaan negera pula tinggal 5 hari lagi. Sepatutnya atau sejarahnya pada tahun-tahun sebelum ini, kemeriahan sambutan hari kemerdekaan jelas terpancar di setiap pelusuk tanah air. Namun kali ini ianya sepi. Mungkin kerana jatuh pada bulan ramadan agaknya. Namun alasan tersebut sebenarnya tidak boleh dijadikan sandaran sepenuhnya. Contoh ketara yang boleh dilihat ialah boleh dikatakan tiada langsung jalur gemilang dikibarkan di kenderaan persendirian. Kenderaan jabatan pun ada satu dua sahaja. Agaknya tunggu jalur gemilang free kut.

Pada hemat abah masyarakat dah tidak pentingkan petriotik atau semangat kenegaraan. Atau kerana semangat kepartian menebal yang membuatkan cintakan negara dah luntur. Sepatutnya semangat kepartian dan cintakan negara berjalan seiringan.....tapi nampaknya ianya dah terpisah. itu pandangan abah je.....

Abah pun belum naikan bendera kat kereta.....lepas ni abah kena pergi beli dan pasanglah kat kereta. Bendera besar dah pun abah pasang, terpacak megah kat depan rumah abah....

Wednesday, August 12, 2009

Ramadhan

R

amadhan bulan barkat kian menghampiri........sesungguhnya ia amat ku nantikan.

Ramadan Reminders

Tarian Melayu

D
alam masyarakat melayu terdapat jenis tarian yang menjadi indentiti utama. Antaranya seperti berikut :-

Tarian Mak Yong

Tarian Mak Yong yang berasal dari Patani di selatan Thailand dicipta untuk hiburan kerabat DiRaja wanita, permaisuri serta puteri sewaktu ketiadaan kerabat diRaja lelaki. Tarian ini menggabungkan drama romantis, serta tarian dan nyanyian tradisional dengan gaya yang menawan, yang mengisahkan zaman kegemilangan kesultanan Melayu.


Tarian Kuda Kepang

Tarian Kuda Kepang dibawa ke Negeri Johor oleh pendatang dari Jawa. Para penari menggunakan kuda kepang untuk menggambarkan kisah kejayaan perjuangan suci Islam, diiringi paluan gendang, gong dan angklung.



Tarian Zapin

Pengaruh Islam ke atas tarian tradisional Malaysia boleh dilihat dengan ketara dalam tarian Zapin, sebuah tarian yang terkenal di negeri Johor. Tarian ini, yang diperkenalkan oleh para mubaligh dari Timur Tengah, pada mulanya digunakan dalam amalan berzikir yang bertujuan menyebarkan pengetahuan mengenai sejarah tamadun Islam.



Tarian Lilin


Sebuah tarian yang dipersembahkan oleh penari wanita sambil menatang lilin di dalam piring kecil di atas telapak tangan mereka, dan memaparkan gerak-geri yang penuh dengan kelembutan

Tarian Gamelang

Tarian klasik ini mula di kesan di empayar Riau dan Lingga dalam kurun ke-17.Ia mula di persembahkan buat pertama kali di khalayak ramai di Pekan Pahang dalam tahun 1811 dalam upacara persandingan Tengku Hussain, putera kepada Sultan Abdul Rahman yang memerintah Lingga, dengan Wan Esah yakni adik perempuan kepada Bendahara Ali dari Pahang. Ianya mula di perkenalkan di Terengganu selepas Tengku Mariam iaitu seorang puteri di Pahang, mengahwini Tengku Sulaiman yakni putera kepada Tengku Zainal Abidin dari Terengganu.
Tarian ini yang mana di persembahkan secara eksklusif oleh penari wanita boleh di pentaskan secara dalaman ataupun persembahan terbuka.Elemen Jawa boleh di lihat dari segi seni tarian tersebut. Secara estetikanya, tarian ini adalah sangat cantik dan merupakan bentuk tarian yang paling kaya dari segi jenisnya dalam kebanyakan kostum tarian Melayu.



Tarian Cik Siti Wau Bulan

Pada musim menuai di negeri-negeri sebelah Pantai Timur sering diadakan permainan seperti main gasing, main wau, rebana ubi, rebana kertuk, rebana kayu dan lain-lain lagi. Bersempena dengan permainan wau maka satu tarian yang diberi nama Cik Siti Wau Bulan telah dicipta. Dahulu tarian ini mengisahkan anak muda bermain-main wau di musim menuai. Kemeriahan tarian ini tergambar dalam gerak-geri penari-penari yang terdiri daripada anak muda lelaki dan perempuan.


Joget

Tarian yang paling terkenal di Malaysia ini adalah sebuah tarian yang meriah, dengan rentak yang agak laju. Tarian ini, yang dipersembahkan oleh pasangan penari dengan gerak-geri pantas yang disulami pelbagai usikan, berasal dari tarian tradisi Portugis yang diperkenalkan di Melaka sewaktu era perdagangan rempah di situ.


Tarian Asyik

Tarian Asyik merupakan sejenis tarian Melayu klasik dari daerah - daerah di Kelantan yang ditarikan di istana raja - raja Kelantan dan Patani.

Asyik bererti kekasih, oleh itu tarian ini bersesuaian dengan gerak - geri bersifat lemah lembut dan penuh dengan ketertiban.

Tarian ini dimulai dengan sepuluh orang penari masuk ke dewan tarian terlebih dahulu , lalu duduk bersimpuh dengan tertibnya. Kemudian tampillah Puteri Asyik dan mereka pun mula menari. Tarian asyik ini ditarikan dalam upacara perkahwinan, iaitu malam berinai dan malam berinai besar di Istana.

Dari segi sejarah (Hikayat Patani), Raja Kuning iaitu Raja Perempuan yang memerintah Patani dalam tahun 1644 ada menyimpan 12 orang penari istana yang menyanyi dan menari dipanggil Asyik.

Tarian Asyik mempunyai rentak perlahan dan gemalai, kerana ia ditarikan dihadapan raja dan permaisuri. Penari asalnya dalam pakaian berkemban, dengan tali pinggang dan mahkota kecil.

Bahagian utama tarian Asyik terdiri dari duduk bersimpuh dengan gerakan membayangkan haiwan dan persekitarannya; alunan ombak laut, burung melayang, ikan berenang, gajah berarak, dan sebagainya. Sesetengah pergerakan menyerupai tarian pementasan Mak Yong. Tarian Asyik biasanya ditarikan oleh inang remaja di istana.


Tarian Ayam Didik

Tarian Ayam Didik merupakan sejenis tarian Melayu dikatakan berasal daripada gerakan berlaga ayam, iaitu sejenis sukan yang diminati oleh orang Melayu pada masa lampau. Tarian ini dicipta oleh ahli tarian di negeri Perlis dan masyhur di kalangan masyarakat terutama di Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan bahagian utara Perak.

Tarian Ayam Didik ini berasal daripada gerakan perlawanan melaga ayam iaitu satu permainan tradisional orang-orang Melayu dahulu. Tarian ini telah dicipta oleh satu kumpulan penari di Kangar, Perlis. Tarian ini diringi dengan nyanyian lagu ayam didik.


Tarian Cerecap Inai

Tarian Ceracap Inai merupakan sejenis tarian rakyat Melayu tradisional yang terkenal terutamanya di Johor.

Tarian Ceracap Inai ini dikaitkan dengan sejarah Kesultanan Melayu Melaka, semasa baginda mudik ke hulu Sungai Muar. Tarian Ceracap Inai ini dikatakan berasal dari tarian istana dan ditarikan di hadapan Sultan dan Pembesar-pembesar negeri di dalam sesuatu keramaian. Oleh kerana itu, Tarian Ceracap Inai ada unsur-unsur 'menyembah duli' (sembah/ampun), merendahkan diri dan ditarikan pula kebiasaannya di hadapan 'Raja Sehari'/Pengantin.

Tarian Ceracap Inai dipersembahkan dengan hiasan seperti 'Bunga-bungaan Emas' dan bercahayakan api lilin yang memberikan erti membawa kepada sinaran kebahagiaan dan kesejahteraan. Tarian ini asalnya ditarikan oleh bilangan penari yang ganjil atau ditarikan berpasangan oleh penari lelaki dan wanita dan boleh juga ditarikan oleh penari-penari wanita sahaja, Bilangan penari biasanya terdiri dari 5 - 8 orang. Tarian ini amat terkenal di Kampung Baru Lenga, Batu 28, Lenga di Daerah Muar.


Tarian Sarah

Tarian Sarah merupakan sejenis tarian rakyat Melayu traditional. Tarian Sarah mempunyai irama muzik padang pasir yang rancak yang mewakili riang gembira. Tarian ini terkenal di kalangan Masyarakat Johor yang berketurunan Arab di Daerah-daerah Johor Bahru, Batu Pahat dan Muar.

Di Johor, tarian ini kebiasaannya ditarikan oleh pasangan lelaki sahaja. Mereka menari beriringan dengan gerakan yang sama dan dalam satu tempo lagu berirama Samrah, pasangan penari dapat menari secara bergantian dan ini membolehkan pasangan pertama tadi berehat dan diganti dengan pasangan berikutnya dan demikianlah seterusnya. (Tarian ini boleh juga ditarikan oleh penari wanita tetapi di ruang yang berasingan dan tertutup dan dikhaskan untuk penonton wanita sahaja). Tarian ini juga ditarikan di majlis-majlis keraian dan di majlis-majlis kekeluargaan seperti majlis kesyukuran dan perkahwinan. Tarian ini juga ada kalanya berlarutan hingga jauh malam.



Tarian Ulik Mayang

Tarian Ulik Mayang ini berasal dari Negeri Terengganu. Dalam kesenian tarian Melayu, tarian ini mempunyai unsur-unsur pemujaan. Ulik Mayang ditarikan oleh 10 hingga 15 orang penari. Dahulu Ulik Mayang dimainkan sewaktu musim puja pantai. Ianya sebagai persembahan kepada penunggu laut supaya tidak mengganggu nelayan. Terlebih dahulu mayang pinang dipuja serta digoncang-goncang atas bekas kemenyan. Kemudian mayang pinang tadi akan berpindah tangan dari seorang ke seorang. Kemuncak tarian ini apabila penari yang memegang mayang tidak sedarkan diri.

Tuesday, August 11, 2009

Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan

S
ibuklah sikit minggu ni, sebab uruskan program Pekan Budaya Daerah Hulu Terengganu. Dah diberi tanggungjawab tu kenalah buat. Siang malam, uruskan persembahan kebudayaan dan tradisional. Walaupun letih tapi seronok. Dalam mempersiapkan aturcara yang disusun adalah beberapa perkara yang sukar terpaksa dilalui bagi memastikan setiap perancangan berjalan dengan baik.

Abah pun kekadang tu cuai sikit hal-hal anak. Makan minum dah tak terurus. Tidak ada lagi makan bersama keluarga. Balik pun larut malam. Kekadang terlelap depan pc waktu pejabat. Apa pun dalam meniti syaaban yang hampir meninggalkan kita, sudah tentu perasaan seronok campur gembira sebab ramadhan sudah pasti akan datang. Sabutlah ramadhan dengan kesyukuran. Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan.

Wednesday, July 29, 2009

Macamana nak kecilkan saiz gambar?

K

ebiasaan gambar yang diambil dengan menggunakan kamera digital atau scanner, saiznya adalah sekitar 1.5Mb hingga 2.5Mb bergantung kepada setting. Dengan adanya teknologi seperti CD dan thumb/pen drive saiz fail berkenaan tidak ada masalah untuk disimpan. Tetapi menghantar gambar melalui emel ada kalanya memakan masa untuk dihantar dan diterima dan kadangkala tidak dapat dihantar sebeb kotak mel (mail box) yang telah penuh......

Ada beberapa cara saiz gambar boleh dikecilkan:

* Photoshop
buka gambar dengan perisian photoshop dan ubah saiz gambar ke sekitar 600 lebar. saiz fail akan mengecil ke 69 KB sahaja.

* Power Point
insert gambar ke perisian PowerPoint dan kecilkan gambar berkenaan ke saiz muka surat . klik kanan pada gambar dan save as picture dalam format jpeg. saiz fail akan mengecil ke 120 KB sahaja.

* Ms Word
insert gambar ke perisian Ms Word. save fail dalam format web page dan gambar akan secara auto di save ke folder lain. saiz fail akan mengecil ke 20 KB sahaja.

* Acrobat
insert gambar ke perisian Acrobat dan save dalam PDF. fail akan mengecil.

Thursday, July 09, 2009

Makna Dalam Solat

S

Selawat dan salam buat insan utama Nabi Muhammad SAW, keluarga serta para sahabat.

Semoga dalam kita memahami makna bacaan di dalam solat akan membuatkan kita lebih khusyuk di dalam solat.



TAKBIRATULIHRAM
Allahuakbar
Allah Maha Besar

DOA IFTITAH
Allah Maha Besar dan segala puji bagi Allah dengan banyaknya.
Maha suci Allah sepanjang pagi dan petang
Aku hadapkan wajahku bagi Tuhan yang menciptakan langit dan bumi, dengan suasana lurus dan berserah diri dan aku bukan dari golongan musyrik.
Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah, Tuhan sekelian alam.
Tidak ada sekutu bagiNya dan kepadaku diperintahkan untuk tidak menyekutukan bagiNya dan aku dari golongan orang islam.

AL FATIHAH
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang
Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam.
Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Yang menguasai hari pembalasan.
Hanya Engkaulah ynag kami sembah dan hanya kepada Engkaulah kami memohon pertolongan.
Tunjukilah kami jalan yang lurus.
Iaitu jalan orang-orang yang Engkau kurniakan nikmat kepada mereka, bukan jalan mereka yang Engkau murkai dan bukan jalan mereka yang sesat.

BACAAN KETIKA RUKUK
Maha Suci Allah Yang Maha Mulia dan dengan segala puji-pujiannya.

BACAAN KETIKA BANGUN DARI RUKU
Allah mendengar pujian orang yang memujinya.

BACAAN KETIKA IKTIDAL
Wahai Tuhan kami, bagi Engkaulah segala pujian.

BACAAN KETIKA SUJUD
Maha Suci Allah Yang Maha Tinggi dan dengan segala puji-pujiannya.

BACAAN KETIKA DUDUK ANTARA DUA SUJUD
Ya Allah, ampunilah daku,
Rahmatilah daku,
Kayakan daku,
Angkatlah darjatku,
Rezekikan daku,
Berilah aku hidayah,
Sihatkanlah daku dan
Maafkanlah akan daku.

BACAAN KETIKA TAJIYYAT AWAL
Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah.
Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta keberkatannya.
Sejahtera ke atas kami dan ke atas hamba-hamba Allah yang soleh.
Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah.
Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad.

BACAAN KETIKA TAHIYYAT AKHIR
Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah.
Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta keberkatannya.
Sejahtera ke atas kami dan ke atas hamba-hamba Allah yang soleh.
Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah.
Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya.
Sebagaimana Engkau selawatkan ke atas Nabi Ibrahim dan ke atas keluarganya.
Berkatilah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya, sebagaimana Engkau berkati ke atas Nabi Ibrahim dan ke atas keluarga Ibrahim di dalam alam ini.
Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Agung.

DOA QUNUT
Ya Allah, berilah aku petunjuk sebagaimana orang-orang yang telah Engkau tunjuki.
Sejahterakanlah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau sejahterakan.
Pimpinlah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau pimpin.
Berkatilah hendaknya untukku apa-apa yang telah Engkau tetapkan.
Sesungguhnya hanya Engkau sahajalah yang menetapkan, dan tidak sesiapapun ynah berkuasa menetapkan sesuatu selain daripada Engkau.
Sesungguhnya tidak terhina orang yang memperolehi pimpinanMu.
Dan tidak mulia orang-orang yang Engkau musuhi.
Telah memberi berkat Engkau, Ya Tuhan kami dan Maha Tinggi Engkau.
Hanya untuk Engkau sahajalah segala puji terhadap apa yang telah Engkau tetapkan.
Dan aku mohon ampun dan bertaubat kepada Engkau.
Dan Allah rahmatilah Muhammad, Nabi yang ummi dan sejahtera ke atas keluarganya dan para sahabatnya.

Ya Allah, aku tidak layak ke syurgaMu, namun aku tidak pula sanggup ke nerakaMu. Kamilah hamba yang mengharap belas dariMu. Ya Allah jadikanlah kami hamba-hambu Mu yang bertaqwa, ampunilah dosa-dosa kami, dosa kedua ibubapa kami, dosa semua umat islam yang masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia. Ameen Ya Rabbal alamin.

Monday, July 06, 2009

Cabaran

I
nilah dia dikatakan cabaran. Apa tidaknya, minggu sudah abah meluangkan masa ke Kuala Kangsar bagi menemui anak abah yang sulong (Along). Setahun lebih abah tidak menjejakkan kaki ke sekolah tempat dia belajar iaitu di Kolej Melayu Kuala Kangsar. Tahun ni dia akan menempuh ujian bila mana peperiksaan SPM bakal di laluinya. Lantaran ingin mendapatkan serba sedikit perkembangan abah pun melintasi Banjaran Titiwangsa untuk melihat sendiri perkembangannya. Abah berada disana selama 4 hari mulai 2 Julai hingga 5 Julai.

Kesempatan berada disana abah gunakan sepenuhnya dengan menemui kesemua guru-guru yang mengajarnya. Pelbagai pandangan dan kritikan serta tunjuk ajar diberikan oleh kesemua guru-gurunya yang pada akhirnya inginkan kejayaan beliau. Memang abah titik beratkan kejayaannya kerana sebagai anak yang sulong sudah tentu kejayaannya menjadi perangsang kepada 3 oranglagi adiknya. Abah juga mengambil kesempatan menemui guru-guru yang pernah mengajarnya. Sebak rasanya bila melihat kesungguhan guru-gurunya memberi penjelasan dan merangsang supaya lebih berusaha.

Pada 2 hari terakhir abah mendapat pelepasan dari guru PK Hem ( Cikgu Haji Fairuz )untuk bermalam bersama abah. Selama 2 hari abah gunakan peluang memberi dia motivasi dan perangsang bagaimana kejayaan dapat kita genggam setelah berusaha dan juga memohon petunjuk dari Yang Maha Esa. Abah tidak putus-putus berharap agar along tidak sia-siakan peluang yang sekali ini. Bersekolah di sekolah yang terkenal menjadi idaman ibu bapa. Namun sekolah saja terkenal namun kejayaan tidak dikecapi hanyalah igauan yang buruk pada akhirnya.

Sunday, June 21, 2009

Salasilah Keluarga

K

eluarga yang ramai mampu mewujudkan suasana persaudaraan yang sangat akrab. Lantaran itu hasil usaha anak sulong abah yang mengumpul maklumat maka disini dipaparkan untuk tatapan. http://www.myheritage.com/site-52266701/ahmad-web-site mana-mana yang dapat maklumat baru boleh email kepada abahmisai@yahoo.com

Dan perenggan-perenggan berikutnya di sini

Selamat Hari Bapa

S
elamat hari bapa kepada seluroh kaum bapa. Hari bapa selalunya jarang diingati tidak seperti hari-hari lain. Sebab tarikh hari bapa tidak tetap pada setiap tahun. Berbanding dengan hari-hari lain yang telah ditetapkan pada tarikh-tarikh tertentu setiap tahun. Namun begitu sebagai bapa kita sambut hari bapa ini dengan iltizam dan azam supaya keluarga aman sentosa serta dapat memberi tumpuan bagi mengatur rumahtangga.

Ramai para bapa menerima kiriman SMS dari rakan taulan dan "isteri-isteri" atau isteri. Ada yang lucu dan ada yang menusuk kalbu. Apa yang penting mesej diterima dengan jujur. Apa tidaknya, sebagai seorang bapa kita mempunyai peranan yang besar keatas anak-anak. Pada kesempatan ini juga abah yang telah pun kehilangan bapa selepas kembalinya ia kerahmatullah empat tahun lepas ingin memanjatkan rasa syukur kerana mempunyai seorang bapa yang baik. Amat terasa kehilangannya sejak akhir-akhir ni. Kekadang ternampak-nampak akan gelagat dan tingkah lakunya. Semoga Allah peliharakan rohnya dan ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman. Amin.

Sunday, June 14, 2009

Kembali ke Sekolah

C
uti persekolahan telah berakhir. Anak-anak memulakan hari persekolahan mulai ahad lalu selepas 2 minggu bercuti. Sepanjang tempoh percutian kesempatan diambil oleh ibu bapa untuk bersama dengan anak-anak bagi merapatkan perhubungan selepas masing-masing sibuk dengan kerja dan persekolahan. Pun begitu peluang dan berinteragsi diguna sepenuhnya bagi memupuk semangat supaya tidak lupa kepada nasihat ibu bapa.


Bagi abah sepanjang cuti persekolahan lepas tidaklah seperti cuti-cuti sebelum ini. anak-anak tidak dapat bersama sebab demam selama 2 minggu. Dah lah gitu, jemputan kenduri kahwin disana sini. Tapi kesemua jemputan itu tidak dapat ditunaikan disebabkan terlantar dirumah. Minta maaf banyak-banyak kepada sahabat dan rakan taulan serta saudara mara yang sudi menjemput untuk hadir kejamuan kenduri kahwin. Apakan daya dah tiga kali berulang alik ke hospital. Satu hari tu abah menguatkan diri untuk hadir mesyuarat Explorasi Gagau di Wisma Daruliman yang dipengerusikan oleh YB Rozi Mamat. Ingatkan hati memang tidak mau hadir tapi memikirkan mungkin ramai yang tidak hadir sebab mesyuarat tu kat luar Kuala Berang mau tak mau paksakan diri untuk hadir. Huh, bila duduk dalam bilik berhawa dingin apa lagi, batuk dan demam mula membuak. Tak tertahan-tahan. Mesyuarat pun tak ambil berat sangat. Bila YB tangguhkan mesyuarat cepat-cepat abah turun dan terus pulang. Dalam perjalanan pulang hanya Allah saja yang tahu. Rasanya Kuala Berang yang jarak 40km tu macam 400 km. Sampai je kat Kuala Berang lum kul 5 lagi terus ajak isteri pulang. Bila sampai kat rumah minta dipicitkan dan terus cari ubat. Lepas makan ubat selimut. Dah tu baru lah berpeluh. Mujur juga ada anak-anak yang tolong picitkan.
SELAMAT KEMBALI KE SEKOLAH.

Thursday, June 11, 2009

Selamat Pengantin Baru

M

usim cuti sekolah merupakan musim sibuk buat ibu bapa menguruskan perkahwinan anak-anak. Apa tidaknya, waktu inilah sanak saudara dapat berkumpul dan bertemu setelah sekian lama bekerja diperantauan. Abah juga tidak kurang sibuknya. Bukan menguruskan perkahwinan tapi memenuhi jemputan perkahwinan. Namun semua jemputan tidak dapat ditunaikan kerana semenjak 29 Mei lagi abah dan diserang demam (mujur bukan H1N1). dah tiga kali ulang alik ke klinik, namun tidak juga baik. Ada yang datang mengurut serta menjampi bagi menghalau iblis. Kini dah pun beransur sembuh.


Walaubagaimana pun abah tidak mahu ketinggalan dalam musim-musim majlis perkahwinan ini. Disini saya selitkan rangkap pantun untuk semua pengantin baru.

Bauhulu kuih tradisional
Mangkuk timah penuh sarat
Kalau dahulu tidak kenal
Sekarang beramah semakin erat


Ikan di laut asam di darat
Dalam kuali bertemu jua
Hati terpaut janji diikat
Atas pelamin bertemu jua


Tunduk segala rakyat jelata
Memberi takzim raja sehari
Raja rupawan di atas takhta
Duduk memerintah barang sehari


Orang jauh dikenang-kenang
Hanya terkenang pada yang satu
Mula berkenal kemudian bertunang
Diatas pelamin sama bersatu


Panas kering siapakan tahu
Hujan rintik di daun pandan
Berjalan seiring bersentuh bahu
Sama cantik sama padan


Ayam dara di buat gulai
Bungkus bekalan letak di bucu
Riang gembira kedua mempelai
Semoga berkekalan keanak cucu (akhir hayat laa..)


Tuan puteri tersenyum-senyum
Melihat laksamana bermain rodat
Senyum-senyum jangan tak senyum
Sudah sempurna segala adat


Sianak dara memakai lokek
Lokek tersangkut dihujung julai
Untuk majlis membelah kek
Jemput bangun kedua mempelai


Pergi berzanji di pekan pagoh
Beli sekati ikan senohong
Sudah berjanji bersetia tegoh
Jangan dimungkiri bercakap bohong


Bunga melati dihujung dahan
Disunting dara dengan cermat
Suami isteri berkasih-kasihan
Seperti nabi kasihkan umat


Ikan todak si ikan pari
Ikan linang di dalam peti
Adapun adat bersuami isteri
Senang dan susah sampai kemati

Thursday, May 28, 2009

Hari Malang

H

ari ini 28 Mei abah terima surat dari ibu pejabat mengarahkan pertukaran ke HQ. Huh sedih sungguh. Tapi apa kan daya. Inilah gambarannya bila jadi kakitangan kerajaan tukar menukar tu dah jadi perkara biasa. Tak tukar hari ini, esok lusa kena tukar gak.

Hari ini dah 2 hari abah demam. Kelmarin tak bangun satu hari. Mujur pergi ke hospital awal-awal. boleh lah makan ubat. Lepas makan ubat je terus berpeluh. Lepas tu adalah tukang urut yang baik hati mengurut seluroh badan. Rasa lega bukan main sebab dan kena urut. Dalam demam pun datang gak kerja sebab dah jadi kebiasaan datang kerja. Kecuali lah tak boleh bangun. Itu pasallah abah tak ambil MC kelmarin sebab ada mc pun datang kerja gak. Hari ini gak anak2 yang duduk asrama akan pulang. Rindu bukan main rasanya. Dah lama tak jumpa dia orang lebih2 lagi along yang bersekolah di MCKK.

Monday, May 25, 2009

SPM 2009

T

ahun 2009 merupakan tahun penentuan buat Along yang bakal menempuhi peperiksaan yang penting iaitu SPM. Sebagai seorang bapa sudah tentu mengharapkan kejayaan dalam peperiksaan ini. Sebelum ini peperiksaan UPSR dilalui dengan kejayaan cemerlang setelah mendapat keputusan 5A. Begitu juga PMR di catat kejayaan kedua buatnya apabila mendapat 8A.

Selepas mendaftar sebagai seorang pelajar di Kolej Melayu Kuala Kangsar pada tahun 2005 keputusan peperiksaan Along pada setiap kali peperiksaan diadakan begitu terumbang ambing.

N
amun dalam tempoh beberapa bulan lagi peperiksaan yang bakal menentukan langkah seterusnya bagi bakal ditempuhi oleh anak sulong abah. Hati ini berdebar-debar menantikan tarikh tersebut. Doa sering dilafazkan pada setiap kali selepas solat mudah-mudahan Allah S.W.T. memberikan kejayaan kepadanya. Kejayaan ini juga bagi memberi peransang kepada adik-adik yang lain.

Saturday, May 23, 2009

Hari Lahir Adik Iman

12 Mei lalu adalah hari ulang tahun ke 5 anak bungsu yang sorang ni. Sedih juga sebab tak dapat menyediakan sanbutan ulang tahun untuk dia. Antara sebabnya hari tu hari bekerja yang memang agak sibuk juga.


Tambah lagi semua abang dan kakaknya pula masih di sekolah. Namun begitu bagi menceriakan hari jadinya abah membeli kek dan sedikit makanan dan dihantar ke sekolah Tadika tempat dia belajar dan meminta gurunya mengagih-agihkan makanan kepada kawan-kawannya. Biar pun tiada sambutan bersama keluarga namun pada sebelah petang ketika datang untuk menjemput dia pulang, adik iman bukan main girang bercerita tentang sambutan yang dibuat disekolah yang dikelolakan oleh gurunya.

Yang menariknya ada rakan-rakannya yang memberi hadiah pada ke esokan harinya. Tidak kering gusi kalau dia bercerita tentang hal-hal yang dia suka.
SELAMAT HARI LAHIR ADIK IMAN

Thursday, May 14, 2009

Selamat Hari Jadi Adik Iman


12 Mei lalu adalah hari ulang tahun ke 5 anak bungsu yang sorang ni. Sedih juga sebab tak dapat menyediakan hari ulang tahun untuk dia. Antara sebabnya hari tu hari bekerja yang memang agak sibuk juga. Tambah lagi semua abang dan kakaknya pula masih di sekolah. Namun begitu bagi menceriakan hari jadinya saya membeli kek dan sedikit makanan dan dihantar ke sekolah Tadika tempat dia belajar dan meminta gurunya mengagih-agihkan makanan kepada kawan-kawannya. Biar pun tiada sambutan bersama keluarga namun pada sebelah petang ketika datang untuk menjemput dia pulang, adik iman bukan main girang bercerita tentang sambutan yang dibuat disekolah yang dikelolakan oleh gurunya.

Yang menariknya ada rakan-rakannya yang memberi hadiah pada ke esokan harinya. Tidak kering gusi kalau dia bercerita tentang hal-hal ang dia suka.

Itulah telatah anak bongsu yang sorang ni.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails