Thursday, June 11, 2009

Selamat Pengantin Baru

M

usim cuti sekolah merupakan musim sibuk buat ibu bapa menguruskan perkahwinan anak-anak. Apa tidaknya, waktu inilah sanak saudara dapat berkumpul dan bertemu setelah sekian lama bekerja diperantauan. Abah juga tidak kurang sibuknya. Bukan menguruskan perkahwinan tapi memenuhi jemputan perkahwinan. Namun semua jemputan tidak dapat ditunaikan kerana semenjak 29 Mei lagi abah dan diserang demam (mujur bukan H1N1). dah tiga kali ulang alik ke klinik, namun tidak juga baik. Ada yang datang mengurut serta menjampi bagi menghalau iblis. Kini dah pun beransur sembuh.


Walaubagaimana pun abah tidak mahu ketinggalan dalam musim-musim majlis perkahwinan ini. Disini saya selitkan rangkap pantun untuk semua pengantin baru.

Bauhulu kuih tradisional
Mangkuk timah penuh sarat
Kalau dahulu tidak kenal
Sekarang beramah semakin erat


Ikan di laut asam di darat
Dalam kuali bertemu jua
Hati terpaut janji diikat
Atas pelamin bertemu jua


Tunduk segala rakyat jelata
Memberi takzim raja sehari
Raja rupawan di atas takhta
Duduk memerintah barang sehari


Orang jauh dikenang-kenang
Hanya terkenang pada yang satu
Mula berkenal kemudian bertunang
Diatas pelamin sama bersatu


Panas kering siapakan tahu
Hujan rintik di daun pandan
Berjalan seiring bersentuh bahu
Sama cantik sama padan


Ayam dara di buat gulai
Bungkus bekalan letak di bucu
Riang gembira kedua mempelai
Semoga berkekalan keanak cucu (akhir hayat laa..)


Tuan puteri tersenyum-senyum
Melihat laksamana bermain rodat
Senyum-senyum jangan tak senyum
Sudah sempurna segala adat


Sianak dara memakai lokek
Lokek tersangkut dihujung julai
Untuk majlis membelah kek
Jemput bangun kedua mempelai


Pergi berzanji di pekan pagoh
Beli sekati ikan senohong
Sudah berjanji bersetia tegoh
Jangan dimungkiri bercakap bohong


Bunga melati dihujung dahan
Disunting dara dengan cermat
Suami isteri berkasih-kasihan
Seperti nabi kasihkan umat


Ikan todak si ikan pari
Ikan linang di dalam peti
Adapun adat bersuami isteri
Senang dan susah sampai kemati

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails